Friday, October 2, 2009

DAVID TEOH BUAT FILEM UNTUK UNTUNG


"Jika produser buat filem untuk anugerah, bersedialah untuk mengalami kerugian. Saya buat filem untuk penonton bukan untuk juri. Saya lihat banyak filem yang memenangi anugerah kurang kadar penontonnya dan tidak mendapat pulangan yang memberansangkan kerana hanya dipersembahkan kepada juri.
"Selain itu, jika buat filem janganlah syok sendiri kerana ia akan menjatuhkan industri perfileman kita. Prinsip saya senang saja, buat filem ikut citarasa penonton dan mendapat keuntungan daripada situ. Sebab itulah saya adakan majlis penyampaian bonus filem kepada mereka yang terlibat yang saya namakan konsep kongsi rezeki.
"Pada tahun ini, kakitangan paling cemerlang akan mendapat sebuah Toyota Camry sempena sambutan Aidilfitri manakala yang lain-lain akan mendapat bonus hari raya berkat daripada keuntungan filem lebih daripada RM21.4 juta," ujar David Teoh ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Dataran Karyawan Finas, Hulu Kelang.

Baginya, Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang lebih bermakna berbanding sambutan Hari Raya Cina kerana lebih 80 peratus daripada pekerjanya beragama Islam.
"Saya lebih banyak bagi bonus pada Aidilfitri berbanding Raya Cina. Duit banyak habis," ujarnya berseloroh.

Rezeki David Teoh semakin murah apabila kebanyakan filem yang diterbitkannya mendapat pulangan yang cukup lumayan dan kutipan box office. Tidak kisah andai filemnya tidak mendapat sebarang anugerah, namun tidak sekali-kali dirinya memperkecilkan pengiktirafan tersebut kerana setiap individu mempunyai persepsi tersendiri.

"Saya cukup berbangga sekali apabila filem Congkak mendapat jumlah penonton paling ramai di Singapura sejak filem Malaysia disiarkan di sana. Pada tahun ini sebanyak empat filem mendapat kutipan box office antaranya Congkak, Senario Episod 1, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Jangan Tegur. Saya kini mensasarkan 100 buah filem dan kemungkinan akan mencapaikan sebelum menjelang 2020," katanya yang sehingga kini telah menerbitkan 37 buah filem.
Pada majlis tersebut, David Teoh menyampaikan bonus kepada pekerja yang dirasakan ikhlas dan komited dalam kerjaya mereka di mana bonus tersebut terdiri daripada RM3000 hinggalah RM150,000.

No comments:

Post a Comment